Kita sedia maklum bahawa kebanyakan negara yang maju dalam sukan menggunakan ilmu sains sukan kepada atlitnya seperti USA, Australia, China, Jerman dan lain-lain lagi. Kajian-kajian tentang pemakanan, faktor kecergasan, kecederaan, latihan, kemahiran, psikologi, cuaca, teknik, biomekanik, pengurusan, kewangan, dan ginetik (baka) diambil kira bagi setiap persembahan dan pencapaian atlet tersebut.
Dapatan-dapatan yang dibuat diguna pakai kepada setiap atlitnya oleh jurulatih. Misalnya yang terbaru mengkaji pemakanan dan gaya hidup pelari pecut Jamaica yg berjaya memecah rekod Olimpik bagi 100m dan 200m. Beliau hanya menjawab suka makan nugget sebelum pertandingan dan tidur cukup, bangun lewat. Jika kita lihat banyak faktor yang boleh menyebabkan seseorang itu berjaya.
Jika dilihat daripada potensi, ternyata rakyat Malaysia ada bakat dan berpotensi. Masalahnya potensi atlit tersebut tidak digilap dengan sistematik dan menggunakan kaedah sains sukan yang betul. Sikap jurulatih dan pengurusan di Malaysia ini sungguh mendukacitakan. Atlit jika dididik dengan betul dan sistematik diperingkat awal dan berterusan mampu menjadi atlit yang berdisiplin dan mencapai sesuatu yang dibanggakan Negara. Kita bukan tiada atlit yang sebegitu. Contoh seperti Nicol David, kita lihat perjalanan hidupnya untuk menjadi juara dunia. Kenapa tidak guna pakai program yang telah membentuk kejayaannya pada atlit lain.?
Memandangkan sukan yang terdapat di Malaysia ini banyak, maka jurulatih-jurulatih yang diperlukan pun banyak. Kebanyakan jurulatih yang terdapat di Malaysia ini adalah bekas atlit-atlit. Sumbangan mereka amat dihargai. Namun jika dilihat mereka hanya menggunakan pengalaman yang sedia ada sahaja untuk menghasilkan dan membentuk atlit tersebut. Ilmu sains sukan yang diserapkan melalui kursus pendek kepada mereka tidak banyak yang dapat digunakan dan diaplikasikan.
Seperti yang diketahui ilmu sains sukan ini jika tidak dirancang dengan betul dan bersistematik program latihannya, kita tidak akan dapat menghasilkan atlit bertaraf dunia, sekadar menang peringkat Malaysia sahaja. Seterusnya bukan senang untuk aplikasikan sains sukan kapada setiap atlit tanpa program yang tersusun dan sistematik. Perlu diingatkan untuk menghasilkan atlit bertaraf dunia bukan setahun dua sahaja(berjaya peringkat Malaysia Boleh).
Cadangan hasilkan jurulatih di kalangan pemegang ijazah sains sukan dari universiti tempatan dan luar negara. Berikan mereka pengalaman jurulatih dan berikan mereka atlit-atlit yang berpotensi, dan berikan mereka motivasi. Pantau program mereka, lihat kejayaan yang dihasilkan dalam setahun dua, bagi atlit yang berbakat tadi dalam usia yang muda. Selepas hasilnya nampak diperingkat Malaysia dan ASEAN, barulah atlit itu didedahkan dengan bantuan jurulatih yang pakar diperingkat antarabangsa seperti Olimpik. Jadi, cadangan terbaru menteri Pelajaran untuk menubuhkan Institut Perguruan Guru Sukan (IPGS) merupakan langkah terbaik untuk menghasilkan jurulatih sukan dan pegawai tenik sukan yang berkaliber.
Perkara yang berlaku sekarang, atlit kita masih belajar perkara-perkara asas seperti kemahiran , kekuatan otot, daya tahan otot, psikologi dan teknik, semasa bertanding di peringkat Asia. Sedangkan pada masa itu seseorang atlit perlu mempertajamkan atau sudah menguasai sepenuhnya secara autonumos kemahiran, kekuatan, daya tahan, psikologi dan teknik dan diperingkat itu perlu dikekalkan perkara tersebut. Bila bertanding terkapai-kapai cari punca kekalahan. Pelbagai faktor disalahkan. Perkara asas dalam sains sukan tidak diambil kira. [Bersambung ...