Sunday, March 17, 2013

PROGRAM SENAMAN BERDASARKAN FITT


Program latihan yang berkesan bergantung pada pelaksanaan aktiviti fizikal dalam program tersebut. Pelaksanaan aktiviti harus mempertimbangkan aspek kekerapan, intensiti, masa dan jenis aktiviti yang optimum untuk memperoleh tahap kecergasan maksimum. Keempat-empat aspek ini boleh dikenali sebagai FITT.

F (Frequency) - Kekerapan
I (Intensity) - Intensiti
T (Time) - Jangka Masa
T (Type) - Jenis Aktiviti


Frequency (Kekerapan)
Aktiviti fizikal perlu dilakukan dengan kerap. Kekerapan pelaksanaannya bergantung pada komponen kecergasan yang hendak dibina. Kekerapan ditentukan mengikut jumlah hari latihan dalam seminggu.

Intensity (Intensiti)
Aktiviti fizikal perlu dilakukan melebihi keupayaan normal. Sebagai contoh, kecergasan kardiovaskular memerlukan seseorang itu bersenam dalam zon melebihi paras Kadar Nadi Rehat (KNL).

Time (Jangka Masa)
Aktiviti perlu dilakukan dalam jangka masa 30 hingga 60 minit dalam sesuatu sesi latihan. Tempoh aktiviti bergantung pada intensiti. Sebagai contoh, jika intensiti senaman itu rendah, jangka masa aktiviti lebih lama.

Type ( Jenis)
Aktiviti yang dilakukan dalam sesuatu program terdiri daripada pelbagai jenis. Kepelbagaian ini membantu proses membina keseluruhan komponen kecergasan fizikal.

Friday, March 15, 2013

Penyakit Darah Tinggi : Rakyat Malaysia dalam Risiko...


           Kira-kira 32.7 peratus rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas kini menghidap penyakit darah tinggi. Ini dikesan melalui kajian rintis mengenai pengambilan garam dalam kalangan rakyat Malaysia yang menggunakan kaedah analisis air kencing selama 24 jam pada tahun lepas. Kandungan purata pengambilan garam oleh rakyat Malaysia ialah 8.7 gram sehari, iaitu 1.7 kali lebih tinggi berbanding saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 5 gram sehari. Dalam kajian yang sama, didapati sos kicap soya merupakan makanan utama yang menyumbang kepada kandungan garam yang tinggi dan kaum lelaki merupakan golongan yang mengambil lebih banyak garam berbanding wanita. 
        Justeru itu, kita digesa supaya melaksanakan langkah pengurangan garam dengan melakukan pemeriksaan kesihatan secara rutin dan menyasarkan tekanan darah (BP) pada paras optimal iaitu 120/80 mmHg atau kurang. Selain itu, hadkan pengambilan garam kepada kurang daripada satu paras sudu teh sehari semasa penyediaan makanan, memasak dan di meja makan. Gunakan perisa asli seperti rempah ratus, daun sup atau limau untuk menambah perisa berbanding penggunaan garam, sos atau penambah perisa yang lain. Kita juga disaran supaya mengambil dua sajian buah-buahan dan tiga sajian sayur-sayuran sehari, amalkan aktiviti fizikal atau senaman yang berkesan dan pupuk minda sihat melalui penanganan stres, tidak merokok dan sihat tanpa alkohol.
   
Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia