Monday, September 28, 2009

Giggs:Lagenda Manutd...

PEMAIN tengah Manchester United, Ryan Giggs sudah menempah dirinya sebagai salah seorang pemain lagenda Manutd apabila sentiasa menampilkan aksi konsisten dan 'luar biasa' apabila turun beraksi sejak dulu sehinggalah sekarang ini. Pemain berpengalaman luas dari Wales itu sudah melalui zaman-zaman pahit dan manis sejak kali pertama menyarung jersi United menentang Everton pada 1991.Berikut adalah beberapa catatan manis pemain itu ketika menyarung jersi United, yang mana dia berjaya meraih 10 pingat kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), empat Piala FA, dua Liga Juara-Juara Eropah, tiga Piala Liga, satu Piala Super Eropah, satu Piala Antara Benua dan satu Piala Kelab Dunia.

1. Gol hebat bertemu Arsenal (Separuh Akhir Piala FA April 1999):Saat bermakna dalam karier Giggs. Dia meloloskan diri melepasi benteng Arsenal sebelum meledakkan percubaan yang tidak dapat diselamatkan oleh David Seaman.
2. Memecahkan rekod penampilan Bobby Charlton di Moscow (Mei 2008):
Giggs memenangi Piala Eropah keduanya dan memecahkan rekod penampilan sepanjang zaman United milik Charlton ketika menentang Chelsea pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara. Juga menjaringkan sepakan penalti penting membantu kemenangan United.
3. Gol penentu kejuaraan menentang Wigan (Mei 2008):
Pada hari dia menyamai rekod Charlton, Giggs tampil daripada bangku pemain simpanan menentang Wigan di gelanggang lawan sebelum menyumbat gol kedua penentu kejuaraan United sekali gus kejuaraan EPL ke-10 buatnya secara peribadi.
4. Sepakan percuma menakjubkan menentang Blackburn (Mei 1993):
Sesudah menamatkan penantian 26 tahun bagi kejuaraan liga, United berparti menentang Blackburn dan Giggs mencuri tumpuan dengan sepakan percuma dari jarak 35 ela tanpa dapat dijangkau penjaga gol Rovers, Bobby Mimms.
5. Gol lambungan di Anfield (Januari 1994):
Dalam perlawanan menakjubkan di Anfield, United pantas mendahului 3-0 sebelum tuan rumah bangkit lewat untuk seri 3-3. Namun sepakan lambung Giggs pada babak pertama yang mengelirukan Bruce Grobbelaar adalah gol terbaik perlawanan.
6. Hari pertama ia bermula menentang Everton (Mac 1991):
Tiada siapa pernah mendengar nama pemain gantian kurus kering yang dibawa masuk menggantikan Brian McClair ketika perlawanan Divisyen Satu United menentang Everton di Old Trafford pada 1991, tapi ia adalah penampilan sulung buat pemain berusia 17 tahun, Ryan Giggs.
7. Gol pertama yang dipersoalkan (Mei 1991):
Perbalahan mengenai gol pertama Giggs buat United masih berterusan hingga kini. Dia akan memberitahu anda ia adalah pada perlawanan setempat dengan Manchester City di Old Trafford pada Mei 1991, tapi rekod menyatakan ia adalah jaringan sendiri Colin Hendry membolehkan United menang 1-0. Giggs masih menganggap dia yang menjaringkan gol itu!
8. Perlawanan menentang Juventus (Oktober 1997):
Giggs menyumbat gol penyamaan penting pada saat-saat akhir menentang Juventus pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara 1999, tapi jaringannya menentang kelab Itali itu dua tahun terdahulu sukar diatasi. Satu lari larian pantas dari sebelah kiri sebelum merembat kencang ke dalam gawang.


Wednesday, September 23, 2009

Bryan Robson Jurulatih Pasukan Kebangsaan Thai

Bekas kapten England dan Manchester United Bryan Robson dilantik sebagai jurulatih baru pasukan kebangsaan Thai, dengan matlamat membawa negara itu ke Sukan Olimpik 2012 di tanah air beliau.Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) Worawi Makudi berkata Robson, 52, telah juga diberi tugas membimbing pasukan itu dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014, serta kelayakan Piala Asia 2011 dan 2014. Robson tiba di ibu negara Thai Selasa lepas untuk membincangkan dengan FA Thai mengenai tugas barunya, di mana beliau akan mengambil alih daripada Peter Reid, yang meninggalkan pasukan itu tergesa-gesa untuk pulang ke England bagi menjadi penolong pengurus di Stoke City Liga Premier selepas hanya setahun di Thai. Worawi berkata Robson akan ditawarkan kontrak sebagaimana dinikmati Reid, yang menerima sejuta paun setahun. Tugasnya yang pertama ialah membimbing pasukan itu dalam jadual perlawanan kelayakan Piala Asia menentang Singapura pada November, kata Worawi. Beliau dijangka dibantu oleh bekas jurulatih Perak Steve Darby, yang juga mengendali Bawah 23 yang membuat persiapan untuk Sukan SEA di Laos pada Disember ini.

Negara kita walaupun mampu mengupah jurulatih yang berkaliber, tetapi memandangkan kualiti pemain kita masih di tahap yang kurang memberangsangkan, pelaburan untuk jurulatih yang berprofil tinggi hanyalah satu pembaziran.. Kita ambil Alex Ferguson sekalipun sebagai coach, kita masih mungkin kalah dengan jiran2 Asean yg lain....

Monday, September 21, 2009

EPL : Great Ball To The Great Scorer...


Alex Ferguson menyifatkan kemenangan dramatik Manutd ke atas Mancity sebagai perlawanan terbaik antara kedua pasukan sepanjang pertembungan mereka. Bagi saya, perlawanan di antara Manutd dengan Mancity tersebut adalah perlawanan yang menyebabkan para peminat Manutd gembira bercampur geram dengan beberapa kesilapan 'budak sekolah' yang dilakukan oleh Rio Ferdinand dan Ben Foster. Pemain paling 'outstanding' pada perlawanan itu adalah Ryan Giggs yang telah melakukan 2 hantaran lintang cantik yang seterusnya diterjemahkan menjadi gol oleh Darren Fletcher. Seterusnya, Ryan Giggs juga dengan kemas melorong bola tepat kepada Owen pada minit keenam masa tambahan yang berjaya membuahkan kemenangan 4-3 Manutd ke atas Mancity. Gol Owen tersebut adalah gol pertamanya untuk Manutd musim ini dalam saingan EPL. Pujian juga patut diberikan kpd Ferguson kerana memasukkan Michael Owen 15 minit terakhir perlawanan kerana apabila bola Manutd sering kali dapat memasuki kawasan penalti Mancity, Owen lah pemain yang perlu dimasukkan!!! Ini kerana Owen sentiasa responsif terhadap bola apabila berada di kwsn kotak penalti.. Betullah cakap pengulas sukan, hantaran Giggs pada minit keenam masa tambahan itu adalah 'Great Ball To The Great Scorer' !
Satu lagi, TAHNIAH kepada pengadil perlawanan kerana memanjangkan sedikit masa tambahan... Ha2..

Friday, September 18, 2009

Tuesday, September 15, 2009

Liga Juara Eropah: Dua Kelab England Menang..

Juara 2008, Manchester United dan pasukan yang mereka kalahkan pada perlawanan final, Chelsea memulakan persaingan Liga Juara-Juara Eropah musim ini dengan mencatatkan kemenangan. United yang ditundukkan Barcelona pada final musim lalu, awal pagi tadi menewaskan Besiktas 1-0 di Istanbul menerusi jaringan tunggal, Paul Scholes pada separuh masa pertama. Chelsea pula yang menyaksikan pemiliknya Roman Abramovich menyandarkan harapan kepada pengurus baru, Carlo Ancelotti untuk mendakap trofi kejuaraan kali ini, juga menang tipis 1-0 ke atas FC Potro.
Gol Chelesa diperoleh menerusi penyerang antarabangsa Perancis, Nicolas Anelka. United dilihat masih belum menemui rentak permainan sebenar tetapi pengurusnya, Alex Ferguson mengakui beliau cukup berpuas hati dengan persembahan anak buahnya itu.

Del Potro Rampas Takhta Federer


Juan Martin del Potro merampas takhta yang telah dipegang oleh Roger Federer selama lima tahun berturut-turut apabila menumbangkan pemain No. 1 dunia itu untuk merangkul kejuaraan tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS), iaitu gelaran Grand Slam pertama dalam kariernya.Bintang muda Argentina berusia 21 tahun itu menamatkan dominasi Federer dengan mencatat kemenangan 3-6, 7-6 (7-5), 4-6, 7-6 (7-4), 6-2 dalam pertarungan sengit 4 jam, 6 minit.Walaupun berdepan bintang dunia yang memiliki sejarah gemilang, malah tewas di set pertama, ia tidak menghalang Del Potro, pemain tinggi lampai dengan ketinggian 1.98 meter untuk bangkit dan mencatat kejutan terbesar.

Monday, September 14, 2009

PRINSIP-PRINSIP LATIHAN KECERGASAN

Kecergasan jasmani bukan satu perkara yang sedia wujud atau berlaku secara semulajadi selari dengan proses kematangan seseorang. Tahap kecergasan boleh dibina melalui latihan jasmani. Latihan kecergasan merupakan aktiviti fizikal yang dilakukan berulang-ulang untuk meningkatkan kecergasan seseorang kepada tahap tertentu supaya berupaya menyempurnakan tugas-tugasnya.

Latihan yang dirancang secara sistematik dengan jadual yang teratur dan berdasarkan prinsip-prinsip latihan akan memberi faedah dan kesan latihan kepada pelakunya. Jika latihan dilakukan sesuka hati dan tidak mematuhi prinsip-prinsip latihan, kesan-kesan negative boleh berlaku kepada tubuh badan dari segi jasmani dan fisiologi, termasuk kecederaan akibat salah amalan. Terdapat 5 prinsip latihan kecergasan yang perlu diketahui terutama sekali bagi seseorang pemain atau atlet.

1. Prinsip Perbezaan Individu:

Perancangan latihan hendaklah mengambil kira bahawa setiap individu adalah unik dan mempunyai sifat-sifat tersendiri dari segi kebolehan yang ditentukan oleh genetic, kematangan fizikal dan mental, tahap kecergasan jasmani yang sedia ada, amalan pemakanan dan gaya hidup. Oleh itu bagi seseorang jurulatih kecergasan, perkara ini perlu diambil kira sebelum memberi latihan yang sesuai kepada seseorang atlet/pemain.


2. Prinsip Tambah Beban (Overload)

Beban latihan yang lebih lagi perlu ditambah semasa latihan dari semasa ke semasa supaya keupayaan badan semakin meningkat. Penambahan beban boleh dilakukan dengan menyesuaikan intensiti latihan, kekerapan latihan dan jangka masa satu sesi latihan. Latihan yang berterusan tanpa aplikasi prinsip tambah beban hanya dapat mengekalkan kecergasan yang sedia wujud dan tidak dapat meningkatkan kecergasan.

3. Prinsip Pengkhususan (Spesifisiti)

Aktiviti latihan yang dilalui oleh seseorang perlu dirancang supaya sesuai untuk keperluan kecergasan yang sebenarnya bagi jenis sukan yang diceburi. Keperluan seorang pelari pecut dan seorang pelari marathon serta pemain badminton adalah berbeza. Oleh itu, latihan yang mereka lakukan hendaklah berbeza dan khusus mengikut keperluan individu itu.

4. Prinsip Ansur Maju.

Latihan dan bebannya dari segi intensiti kekerapan dan jangka masa hendaklah ditingkatkan dengan cara beransur-ansur atau berperingkat-peringkat mengikut kemampuan atlet atau pemain.

5. Prinsip Kebolehbalikan (Reversibiliti)

Kesan atau kecergasan yang diperoleh melalui latihan hendaklah digunakan. Tahap kecergasan bukan perkara yang kekal. Jika seseorang yang cergas berhenti berlatih, tahap kecergasannya akan beransur hilang dan balik kepada keadaan yang asal.