Saturday, February 20, 2010

Kegemilangan Sukan Sekolah Dikembalikan...?@#$%&*

Tan Sri Muhyiddin Yassin, mahu kegemilangan sukan dikembalikan ke sekolah kerana ia adalah institusi utama mengembangkan bakat sukan di peringkat akar umbi. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan Anugerah SAM-100Plus 2009 anjuran Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM). Sehubungan itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Sukan, menggariskan lima unsur penting untuk dilaksanakan bagi merealisasikan hasrat tersebut. Antaranya, beliau telah mengarahkan Bahagian Seni, Sukan dan Ko-Kurikulum di Kementerian Pelajaran supaya dirombak dan meletakkan sukan berasingan daripada yang lain. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kurikulum berhubung sukan juga perlu dikaji semula bagi menyesuaikan waktu ia dilaksanakan supaya tidak menjejaskan pembangunan akademik pelajar. Selain itu, Muhyiddin berkata guru terlatih dalam bidang sukan juga akan diperbanyakkan serta pembangunan infrastruktur juga akan diberikan perhatian. Beliau berkata, peruntukan Kementerian Pelajaran berjumlah RM89 juta untuk aktiviti sukan dan kokurikulum di sekolah yang diumumkan pada 4 Februari lalu masih belum mencukupi untuk merealisasikan program yang dirancang. Muhyiddin berkata, usaha yang hendak dilaksanakan itu memerlukan masa untuk direalisasikan dan hasilnya tidak dapat dituai dalam masa terdekat.

0 comments:

Post a Comment