GAYA hidup sedentari atau tidak aktif adalah satu daripada faktor risiko untuk mendapat penyakit jantung koronari, pembunuh nombor satu di Malaysia dan di kebanyakan negara di dunia. Individu yang mengamalkan gaya hidup begini berisiko 30 hingga 50 peratus lebih tinggi untuk mengalami hipertensi atau tekanan darah tinggi yang menjadi antara penyebab utama strok, kegagalan buah pinggang dan kerosakan mata.
Boleh dikatakan setiap hari kita mendengar saranan untuk mengamalkan gaya hidup aktif. Walaupun saranan ini dilihat lebih mudah diucap daripada dilaksanakan, kita perlu berusaha melakukannya kerana ia terbukti kaedah paling berkesan untuk menjaga kesihatan jantung dan mengekalkan kesejahteraan secara keseluruhan. Senaman membantu jantung melalui beberapa cara iaitu:
1.Seperti otot-otot lain, senaman boleh membuat jantung menjadi lebih kuat dengan keupayaan mengepam lebih banyak darah bagi setiap denyutan. Kadar denyutan jantung ketika rehat lebih perlahan dari biasa kerana jantung tidak perlu bekerja keras untuk mengepam darah.
2. Senaman membantu mengekalkan keanjalan arteri. Ini membolehkan kelancaran aliran darah lantas mengekalkan tekanan darah yang normal. Proses ini berlaku walaupun usia meningkat tua.
3. Senaman boleh memperbaiki profil kandungan lemak darah badan. Selain mengurangkan kolesterol-LDL atau ‘kolesterol tidak baik’, ia secara langsung membantu meninggikan paras kolesterol-HDL atau juga dikenali sebagai ‘kolesterol baik’. Berat badan juga boleh dikurang dan dikawal melalui aktiviti senaman untuk pesakit yang ada masalah obesiti. Kandungan kolesterol tidak normal berserta obesiti antara dua faktor utama penyakit jantung koronari.
Apakah senaman yang baik untuk jantung? Senaman kardiovaskular atau aerobik adalah senaman yang membabitkan kumpulan otot besar. Aktiviti fizikal sebegini memperkuatkan jantung dan paru-paru sambil meningkatkan kemampuan badan menggunakan oksigen. Jika dilakukan dengan kerap, senaman aerobik boleh merendahkan kelajuan denyutan jantung dan tekanan darah serta memperbaiki sistem pernafasan.Contoh senaman aerobik ialah berjalan laju, berlari, berbasikal, berenang, berkasut roda, menari dan mendayung sampan. Senaman aerobik ini harus dilakukan berterusan lebih kurang 30 minit, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Namun beberapa kajian mendapati, untuk mendapat perlindungan jantung, yang penting bukan jangkamasa senaman yang panjang tetapi jumlah tenaga digunakan setiap hari. Ini bermakna, seseorang itu boleh bersenam dengan melakukan aktiviti cergas untuk tempoh pendek beberapa kali sehari.
Sunday, June 7, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
senaman aerobik memang baik untuk kesihatan
ReplyDelete