Apabila kita melihat perkaitan di antara keagresifan dan prestasi, beberapa soalan timbul untuk melihat dan menilai perkaitan tersebut. Antara soalan-soalan seperti ‘Benarkah sikap agresif yang dipamerkan oleh pemain boleh membawa kejayaan kepada pasukannya?’ ‘Bermain dengan agresif membolehkan kita menumpukan perhatian kepada permainan?’ “Adakah tindakan mencederakan pemain lawan untuk memenangi perlawanan merupakan satu tindakan yang adil?” “Adakah kita dianggap sebagai pasukan yang handal apabila menggunakan strategi yang agresif dalam permainan?” Inilah beberapa persoalan yang perlu kita jawab apabila membincangkan tentang perkaitan di antara keagresifan dan prestasi.
Ramai jurulatih berpendapat bahawa sikap agresif kadangkala diperlukan apabila bertanding dalam sukan kontak seperti bola sepak, ragbi, bola keranjang, bola jarring dan sukan olahraga seperti Tae Kwan Do. Bagi kebanyakan jurulatih, bermain secara agresif dalam sukan sedemikan memberikan kelebihan untuk mengatasi lawan. Jika kita melihat persoalan ini dari sudut kebangkitan (fisiologi dan emosi) dengan menggunakan pendekatan U-Terbalik, jelas sekali bahawa individu yang terlalu tinggi tahap kebangkitan khususnya mereka yang terlalu agresif akan mempunyai tumpuan yang semakin yang kecil jika dibandingkan dengan mereka yang sederhana tahap kebangkitannya. Sudah pasti individu yang tinggi tahap kebangkitannya akan kehilangan beberapa kiu penting sepanjang perlawanan. Kesannya, pemain tersebut akan melakukan kesilapan yang mungkin membawa padah kepada pasukannya. Satu perkara yang perlu kita ingat adalah setiap jenis sukan memerlukan tahap kebangkitan yang sesuai serta berbeza dari sukan yang lain untuk mendapatkan tahap prestasi yang terbaik.
Dalam satu kajian tentang kesan gangguan serta provokasi penonton ke atas pemain bola keranjang, didapati bahawa pemain yang tidak terganggu dengan gangguan tersebut menunjukkan prestasi serta kemahiran motor yang baik jika dibandingkan dengan mereka yang terganggu. Prestasi pemain yang terganggu menurun kerana rasa marah serta tahap kebangkitan yang keterlaluan menyebabkan mereka menjadi lebih agresif sehingga mengurangkan tumpuan terhadap permainan. Kesannya, prestasi mereka akan merosot. Contoh yang sering kita lihat ialah dalam permainan bola sepak, apabila seseorang pemain itu diprovokasi oleh penonton atau pemain lawan, pemain itu akan menunjukkan keagresifan yang membawa kepada layangan kad kuning ataupun kad merah.. Kesan daripada keagresifan pemain tersebut menyebabkan prestasi pasukan terjejas… [Bersambung]