Masa depan Rooney di Old Trafford hampir pasti berakhir pada Januari depan setelah pengurus United, Alex Ferguson mengesahkan bahawa penyerang England itu mahu meninggalkan kelab tersebut. Manchester City dikatakan bersedia menawarkan Rooney gaji sekitar £250,000 (RM1.2 juta) seminggu tetapi United lebih cenderung melihat pemain England itu berhijrah ke luar negara atau menyertai Chelsea. Jurulatih Barcelona, Pep Guardiola turut mengesahkan bahawa dia cukup mengidamkan pemain seperti Rooney. Pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti turut mengalu-alukan kehadiran Rooney ke kelab London itu andai ayam tambatan United itu berminat menyertai mereka. Nilai Rooney kini telah pun merudum kerana dia hanya memiliki baki kontrak sehingga Jun 2012 bersama United. Barcelona dijangka akan meletakkan tawaran sekitar £25 juta (RM122.5 juta) untuk mendapatkan Rooney tatkala City pastinya mampu meletakkan tawaran yang lebih tinggi.
Keputusan pemain 'degil' seperti Rooney untuk meninggalkan MU bukanlah satu berita yang menggembirakan kepada para peminat MU. Walau bagaimanapun, apabila seseorang pemain tidak mempunyai nilai kesetiaan kepada kelab dan membiarkan dirinya dibuai kemewahan dan merasakan dirinya begitu hebat, kita terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepadanya. Sejarah kehebatan MU bukan berdasarkan kepada kehebatan individu semata-mata tetapi lebih kepada semangat berpasukan dan kehebatan pengurusnya. Dengan itu, saya sangat bersetuju dengan kata-kata Ferguson ini., "MU pasti akan melahirkan lebih ramai bintang berdisiplin selepas ini berbanding seorang pemain yang mempunyai ego yang tinggi" ...